"semangatlah dalam pendakian, agar bertemu klimaks pencarian, di situlah kemuncak kebahagiaan.."

Monday, 27 July 2015

Dia seorang ibu...

Dia seorang ibu.
Melihatkan peribadinya dari luaran cukup mendamaikan.
Senyumannya,percakapannya,sentuhannya cukup keibuan.

Bertukar senyuman,
Saling mendoakan antara kami melalui ucapan salam.
Lalu,saling salam-menyalami.
Mencari topik perbualan ringkas seperti kebiasaan,bila bertemu seseorang buat pertama kalinya.

"Apa khabar makcik?"

Dia senyum-senyum.Memuji Allah masih izinkan hingga saat ini untuk dia  bernyawa.Ditanya soalan yang sama kepada saya.
Saya tersengih,angguk-angguk.

'"Alhamdulillah sihat..,"

Hampir sepuluh minit berlalu,tiada tanda-tanda keharmonian perbualan ini akan mati.Kami makin rancak bertukar soalan,berkongsi jawapan yang berbeza.Dia dengan cerita dia.Saya dengan cerita saya.Mungkin ini namanya 'kimia'?

Namun..hinggalah satu soalan yang mungkin agak sensitif bukan saja untuk didengarkan oleh telinganya,akan tetapi terus menyerap ke dalam lubuk jiwanya yang dalam.Soalan saya membuatkan dia terkesan.

Soalan saya mematikan senyumannya.
Kemudian,dia memandang saya,dan memaksa diri untuk senyum lagi.Dia tunduk dan mencuba untuk mengalihkan pandangannya ke suatu sudut yang lain.

Allah..
Menyesalnya tanya!

Sejenak kemudian,digenggamnya tangan saya.Saya masih terkebil-kebil memandangnya.Matanya sudah merah.Wajahnya mendung.Akhirnya,awanan perasaan sudah tak berkudrat untuk bertahan.
Dia menangis teresak-esak di hadapan saya.

Air mata itu tumpah juga.
Terhenjut-henjut bahunya menahan sendu.
Apa yang difikirkannya?
Apa yang ibu tua ini alami hingga dipersembahkan emosinya berupa begini di hadapan saya?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Makcik terlalu rindu anak-anak makcik.Syukur ke hadrat Allah,anak-anak makcik semua berjaya.Semua lulusan universiti.Ada yang mengaji dalam negeri dan luar negara.Semua dapat kerja yang baik-baik.Semua sayangkan makcik versi mereka.Tapi..dalam usia senja ini..apalah yang seorang ibu harapkan daripada anak-anaknya?

Makcik tak banyak bercakap dari hati ke hati bila bersama mereka.Sebab makcik tak tahu bagaimana.Mereka bagi makcik macam-macam.Itu ini dibelinya.Adik-beradik berlumba-lumba nak memberikan 'sesuatu' untuk makcik.
Makcik tak betah menolak atau mempersoalkan.Makcik hanya tersenyum seperti biasa.
Makcik tak mahu menyusahkan anak-anak makcik.Mungkin mereka sudah berusaha yang terbaik untuk membahagiakan makcik.
Makcik tak nak jadi cerewet,mengada-ngada dan tamak..sedang makcik tahu ada lagi nasib ibu dan ayah di luar sana yang langsung tak dipedulikan oleh anak-anaknya.

Maaf,makcik tak sopan menangis di hadapan kamu nak....,

Makcik rindu anak-anak.
Rindu usikan dan bermanja dengan mereka.
Moga mereka tak pernah lupa makcik dalam doa mereka..itu sudah memadai.
Makcik belajar tak nak mengharap lebih-lebih.
Kasihan anak-anak makcik..,"

~~~~~~~~~

Duhai diri yang bergelar anak,
korbankanlah perasaanmu demi dia..
Kerana dia berhak!

Sayangi ibu.

<3

Anarohani@270715

No comments:

Post a Comment